Saturday, February 28, 2009

"AMANAT HARAPAN"KEPADA PIMPINAN KEADILAN

Himpunan hari ini menjadi bukti kepada bulatnya tekad serta matlamat kita semua untuk berbakti kepada negara dan rakyat negara ini. Bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita akan pastikan Perubahan mengambil tempat dan menyempurnakan janji untuk membawa Harapan Baru kepada negara ini.

Tidak lama dahulu ramai yang percaya parti ini tidak ada masa hadapan. Mereka mentertawakan hasrat serta cita-cita kita. Muncullah nujum-nujum politik yang meramalkan kepupusan PKR kerana tidak percaya politik baru yang kita bawa; sebuah negara yang benar-benar bersatu dan tidak terperangkap dengan politik sentimen perkauman yang sempit.
Kepada rakan-rakan sekalian percayalah bahtera perjuangan ini tidak akan karam. Jangan sesekali keutuhan tekad perjuangan kita melonggar lemah.
Kepada mereka yang masih tersemat keraguan, percayalah kepada keluhuran akal budi rakyat, bukannya nujum-nujum yang sebenarnya masih terus mendokong regim korup. Parti ini sudahpun memasuki tahun yang ke 10 dan perjuangan kita mulai menunjukkan hasil. Yakinilah haluan tepat negara ini berada di tangan kita.

(MASA YANG SUKAR)
Ini adalah saat-saat sukar buat Malaysia. Ekonomi negara berada di ambang kemelesetan. Kita lihat kilang-kilang ditutup, perniagaan mulai terkesan akibat merudumnya ekonomi dan pengangguran pastinya mencecah ratusan ribu di akhir tahun ini. Rakyat Malaysia akan menempuh saat-saat sukar.
Malangnya menteri kewangan sekonyong-konyong terpinga-pinga dan hanya semalam terkejut menyatakan bahawa tidak ada yang menjangka kedudukan ekonomi sebegini parah. Walhal kita bersama mengungkap permasalahan ini enam bulan sebelumnya ketika membahas belanjawan tahun lalu.

Namun ketegangan kaum yang direkayasa demi meraih keuntungan politik masih berlaku. Nilai-nilai yang menjadi teras masyarakat Malaysia; kepercayaan kepada Tuhan dan menghormati Sistem Raja Berperlembagaan dimanipulasi oleh politik sempit untuk melaga-lagakan di antara satu kaum dengan yang lainnya serta digunakan untuk mempertikaikan kesetian terutamanya pendokong Pakatan Rakyat terhadap Negara. Sedangkan mereka pada masa yang sama menginjak-injak Semangat Keperlembagaan negara ini, yang menjanjikan kepada seluruh rakyat negara ini hak untuk bebas bersuara dan berhimpun.

Perkembangan politik tanah air mutakhir ini meletakkan Pakatan Rakyat di persimpangan jalan. Kita berdepan dengan propaganda yang menggembling emosi tiga R – Race, Religion and Royalty – bangsa, agama dan raja. Tiga isu emotif ini bertapak dan memunyai akar yang meresap dalam dalam psikologi orang Melayu. Sekiranya rakyat tidak mendapat penjelasan yang kukuh dan persuasif tentang isu hakiki ini mereka akan diperdayakan dengan pujukan simbol-simbol tentang bangsa, agama dan raja dan akan mengakibatkan pemikiran mereka kembali sempit, mundur dan kembali ke zaman feudal, bertentangan dengan semangat perjuangan pahlawan dan pendita bangsa- Dr Burhanuddin al Helmy, Dato’ Onn Jaafar, Ahmad Boestamam dan Pendita Zaaba.

Kita menyakini kita mempunyai hujah-hujah yang cerah, jitu dan persuasif untuk menangani propaganda Umno yang memperolok simbol-simbol bangsa, agama dan raja yang semata-mata digunakan untuk mengekalkan kekuasaan dan menutup pekong rasuah, jenayah dan penyalahgunaan kuasa. Sebaliknya kita mempunyai iltizam yang ikhlas dan sahih terhadap kepentingan dan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan bumiputera, serta agama Islam yang dihuraikan dari perspektif sejagat dan berteraskan prinsip keadilan, tradisi ilmu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan prinsip raja beperlembagaan.

Rakyat benci dengan sikap sombong pemerintah, rasuah dan pembohongan yang dilakukan dengan berterusan. Tindakan ini perlu dimulai dengan membina muafakat yang berlandaskan ilmu di kalangan pimpinan dan penggerak parti. Justeru itu kita perlu menggembleng semua idealisme,cita-cita dan hasrat rakyat untuk berdepan dengan momokan dan putar belit sentimen perkauman sempit Umno.

Keadilan telah mula mengambil langkah-langkah untuk mengungkap persoalan Islam dari perspektif sejagat dan inklusif yang berlandaskan tradisi ilmu. Sekarang propaganda Umno telah memutarbelit isu raja-raja Melayu untuk menimbulkan kekeliruan dan kekeruhan di dalam pemikiran rakyat. Kekeruhan ini perlu dijernihkan kembali.

Isu raja-raja Melayu perlu ditangani dengan sikap serhana, berhikmah tetapi tegas. Ia juga harus mencermin pemikiran arus perdana, dan bukannya retorika yang terpinggir. Selain dari hujah-hujah Islam dan keadilan sejagat, perspektif progresif dalam sejarah dan kebudayaan Melayu perlu dinukilkan. Dalam konteks ini tiga sikap terhadap raja perlu dibentangkan: pertama sikap Hang Tuah yang setia membuta tuli, kedua sikap Hang Jebat yang menderhaka dan menumpahkan darah rakyat yang tidak berdosa, di antara keduanya adalah Bendahara Paduka Raja, yang setia lagi bijaksana.

Sikap Bendahara Paduka Raja boleh dibandingkan dengan pendirian Edmund Burke yang berdepan dengan revolusi Perancis, dan Hang Jebat seorang Jacobin. Kaitannya pemikiran Edmund Burke kepada kita adalah kerana beliau seorang reformis, mendukung Glorious Revolution( Revolusi Gemilang), revolusi parlimen yang membataskan kuasa raja, dan ahli parlimen yang menentang penyalahgunaan kuasa yang dibuktikan dalam sikap beliau menuntut Warran Hastings meletakkan jawatan.

Perlu disebutkan juga tafsiran Bernard Mandeville dalam The Grumbling Hive terhadap ungkapan rex non potest peccarre – the king can do no wrong – dengan bait:
But Kings, that could not wrong, because Their Power was circumscribed by Laws.
Kerajaan Umno-Bn menjadikan negara ini lumpuh. Mereka tidak mampu untuk membuat keputusan demi kesejahteraan rakyat kerana apa yang diperjuangkan adalah keuntungan politik semata-mata. Apa tidaknya harga barang terus melonjak tinggi; tol dinaikkan dan hanya ditangguhkan sejenak menjelang pilihanraya kecil. Keutamaan bagi memastikan negara terus makmur serta kebajikan rakyat dipelihara ternyata diabaikan sedangkan kemelesetan mula memberi dampak.

Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman gagal memenuhi harapan rakyat untuk melihat sebuah badan yang bertindak bebas dari pengaruh Umno-Bn. Rasuah masih berleluasa dan kedaulatan undang-undang seperti dicabut taringnya.

Umno-Bn lebih mementingkan politik kabilah ketimbang menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Manakala itu suratkhabar arus perdana masih tidak mahu memaparkan maklumat tepat berhubung salah guna kuasa mahupun keadaan ekonomi negara, sedangkan pemuka-pemuka negara gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.Ini menjadikan tanggungjawab yang digalas kita semakin berat; untuk menyahkan segala bentuk rasuah dan kemunduran, untuk bangkit agar tidak terperangkap dengan permasalahan titik bengit serta kebencian yang disebabkan kekeliruan ciptaan politik jijik.

(SUDAH TIBA MASANYA UNTUK SEDAR DARI LAMUNAN )
Menjelang ulangtahun 8 Mac 2009, marilah kita semua merenung kembali samada kita sudahpun berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi cita-cita Perubahan yang kita jana. Adakah kepimpinan parti melakukan yang terbaik bagi menyampaikan mesej Ketuanan Rakyat kepada rakyat.

Janganlah kerana kejayaan yang sedikit itu membuatkan kita berpuas hati. Jangan lah pula sesekali kita menyerah kepada serangan demi serangan yang datang segenap penjuru, direkayasa demi mencemar imej parti.

Kekecewaan jangan dibiarkan hinggap, penat lelah berjuang pasti disusuli kemanisan kemenangan.Kita tidak boleh lagi bersikap sambil lewa dalam menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ini bukanlah masanya untuk mendabik dada siapa kah yang paling banyak berkorban. Masih segar dalam ingatan apabila dipasung dalam penjara, betapa saya terkesan dengan keberanian saudara, tersentuh akan kesetian para pendokong serta didorong dengan pengorbanan rakan-rakan seperjuangan menentang kezaliman. Kita mesti kembali menggilap semangat perjuangan bagi memastikan Perubahan terlaksana dan parti yang dicintai ini diperkasa.

Masa untuk berbulan madu sudah tamat. Banyak lagi peperangan yang kita mesti menangi. Raikanlah kemenangan kita dengan penuh sikap tawaduk dan bersedia menghadapi cabaran yang lebih getir. Bulan-bulan mendatang menjanjikan halangan-halangan baru yang memperlihatkan wajah sebenar regim Umno-Bn yang sanggup menggunakan undang-undang kuku besi demi menghalang kemaraan kita.

(MEMBAHARUI TEKAD)
Rakyat Malaysia dahagakan Perubahan. Mereka mahukan ianya direalisasikan. Mereka mahukan pemimpin yang menjadikan rakyat sebagai agenda utama serta sebuah negara yang bersih dari rasuah serta salah guna kuasa.

Apabila rakyat memilih kita, mereka mahukan iklim politik yang berlainan; memimpin dengan penuh sikap tawaduk serta berbicara dengan penuh hemah. Oleh itu kita mesti berusaha bukan sahaja sekadar memenuhi harapan mereka bahkan mesti lebih baik. Kita mesti belajar untuk mengakui kesilapan dan memastikan ianya tidak lagi berulang.

Kita percaya politik adalah wadah buat kita berbakti kepada rakyat. Makanya kita bertanggungjawab baik terhadap sesama kita dan juga terhadap rakyat. Perjuangan kita berasaskan keyakinan untuk memastikan negara ini kembali berada di landasan yang tepat.
Izinkan saya menukil sepotong ayat dari esei tulisan Vaclav Havel yang berjudul “Paradise Lost”:“Those who find themselves in politics therefore bear a heightened responsibility for the moral state of society, and it is their responsibility to seek out the best in that society, to develop and strengthen it.”(“Mereka yang berada dalam politik sesungguhnya memikul tanggungjawab besar terhadap apa jua keadaan masyarakat dan adalah kewajipan mereka membangunkan masyarakat itu dengan segala kekuatan dan yang terbaik darinya”)

Saya menyeru kepimpinan Keadilan untuk membaharui komitmen mereka kepada rakyat. Tidak kira mereka yang berkhidmat dalam Biro Politik, MPT, Ahli Parlimen mahupun ADUN, juga kepimpinan parti di seluruh negara, kita mesti memastikan rakyat adalah agenda kita. Tunaikanlah amanah dengan berkesan dan penuh tanggungjawab.

Ingatlah perjuangan Parti Keadilan Rakyat tidak berasaskan ideologi kabilah, teras kita adalah perjuangan menegakkan keadilan dan merangkul semua tanpa mengira batasan kaum mahupun kepercayaan. Ini juga tentulah tidak asing dari seruan li-ta’arafu yang berasaskan ayat Al Quran Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan( Al Hujurat: 13)
Manakala Confucius di dalam Analect, Buku 12, dan dirumuskan oleh pengarang terkenal Han Su Yin, ada mengatakan Si hai zhi nie jie xiong di, yang bermaksud “Empat lautan terbentang luas, Semua manusia bersaudara.”

Oleh yang demikian, kita punya ruang yang luas bagi semua suku kaum di negara ini untuk bersama merealisasikan impian ketuanan rakyat yang merupakan harapan baru untuk Malaysia.
Dari Perlis ke Johor merentasi lautan hingga ke Sabah dan Sarawak, Keadilan harus bergerak dengan kesungguhan memperjelas serta meraih keyakinan rakyat agar tiada lagi keraguan untuk melakukan perubahan bersama kita kearah masa depan yang lebih gemilang.

(STRATEGI)
Justeru itu, kita perlu memperkukuhkan jentera serta memperkuat semangat, kita juga harus memikirkan secara bersama bagi mendapatkan dana untuk parti.
Untuk itu, saya telah meminta Setiausaha Agung parti agar membawa parti ke hadapan untuk menyahut cabaran tersebut. Mulai saat ini juga, pihak sekretariat akan lebih memberi tumpuan kearah pengukuhan akar umbi diseluruh negara.

Bagi mencapai tujuan itu, kita akan memastikan sekurang-kurangnya satu mesyuarat dan ceramah diadakan pada setiap bulan oleh setiap negeri dan bahagian. Manakala ketua penerangan di setiap negeri akan diminta untuk melaporkan kepada ibu pejabat parti setiap bulan bagi membincangkan perkembangan terkini serta arahan dan langkah selanjutnya.
Pengambilan ahli-ahli baru harus ditingkatkan kerana ia adalah salah satu strategi kita bagi menghadapi pilihanraya di masa depan.


Tahun-tahun kebelakangan ini, anda telah mempamerkan semangat kesungguhan dalam perjuangan. Namun demikian kita seharusnya akur bahawa masih terdapat kekurangan dan kelemahan, masih ada ruang untuk kita memperbaiki serta melakukan peningkatan. Kita juga mahukan penyertaan yang lebih berkesan daripada rakan-rakan yang baru menyertai parti. Kita mesti terus melangkah ke hadapan, manakala mereka yang ada bersama kita pada hari ini adalah mereka yang komited dan sanggup berkerja keras untuk membawa parti ini ketahap yang lebih tinggi.

Perjuangan ini akan mencapai matlamatnya jika setiap daripada kita mengerti akan pentingnya semangat kerja berpasukan.
Bahtera telahpun menarik sauh tanda pelayaran sudah bermula, ayuh bersama kita melakar sejarah yang penuh gemilang. Kepada anda yang telah meraih undi daripada rakyat, adalah teramat penting mendapatkan sokongan berterusan dari rakyat untuk terus bersama melayari bahtera perjuangan. Buat anda yang telah diberi tanggungjawab dengan memegang jawatan-jawatan dalam parti, diharap dapat menjalankan amanah tersebut dengan berusaha lebih gigih demi memartabatkan perjuangan keadilan.Masa semakin berlalu , ia telah membawa kita hampir kepada Pilihanraya Umum sekali lagi, oleh itu amatlah penting buat kita merebut setiap detik bagi membina kekuatan perjuangan menegakkan keadilan.Dengan situasi ketidaktentuan ekonomi serta kerapuhan dalaman pihak lawan, ia seharusnya memberi kita kelebihan untuk terus mara kehadapan. Tambahan pula, keyakinan yang ditunjukkan rakyat terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat masih tetap utuh. Ini semua hasil dari kesungguhan kita yang selama ini senantiasa menumpukan untuk terus berkhidmat demi masyarakat.

(ISU KEWANGAN)
Menyedari bahawa kita tidak mempunyai kekuatan kewangan seperti BN, namun kita tidak akan sesekali tunduk kepada politik wang apatah lagi menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan bagi mencapai matlamat perjuangan.(PENUTUP)
Kita akan tetap bergantung kepada dukungan rakyat yang menyokong agenda membawa perubahan untuk terus memberikan bantuan kewangan bagi membolehkan kita menjana kemenangan. Adalah menjadi prinsip kita selama ini bahawa kualiti kepimpinan serta komited melakukan perubahan dan pembaharuan dalam memperjuangkan kehendak rakyat adalah merupakan asset terpenting demi merealisasikan impian membina Malaysia Baru.(ANWAR IBRAHIM)

Tuesday, February 24, 2009

SURAT ANAK MUDA KEPADA TUN

Kepada Pengerusi Yayasan Kepimpinan Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad. Salam sejahtera dan semoga sihat sahaja. Saya menulis surat kepada Tun kerana ada banyak hal yang kita perlu muhasabahkan bersama.

Sebagai umat Islam yang mengaku menjadi umat Muhammad s.a.w, kita mestilah sentiasa memperbaharui taubat.

Saya menyeru diri saya sendiri termasuk Tun dan kepimpinan Melayu Umno dulu, kini dan selama untuk sama-sama bermuhasabah mengenai sejauhmanakah kita telah berusaha memperbaiki taraf hidup Melayu, Muslim dan bangsa Malaysia seluruhnya.

Mutakhir ini, kita melihat keadaan yang membimbangkan. Khir Toyo mula menyerang Elizabeth Wong dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya dapat menghidu semua ini. Selepas kes Eli, maka gambar mereka berdua disiarkan di Agenda Daily. Memang tepat.. Khir Toyo akhirnya menyerang Khalid pula.

Rakyat tahu bahawa saat menjelangnya Perhimpunan Agung Umno, Khir Toyo cuba menonjolkan dirinya sebagai ‘bakal’ Ketua Pemuda dengan cara menunjukkan kejaguhan beliau menghentam parti lawan.

Walhal, apa salahnya mengorbankan lembu-lembu untuk rakyat. Beliau mengelak daripada memandu kereta rasmi, sebaliknya menggunakan kereta sendiri. Apa salahnya menggunakan peruntukan itu untuk ‘maintenance’ kereta peribadinya sendiri?

Kalau watak Khir soleh dan warak sangat, tanya semula anak-anak Selangor di Al-Azhar dan Timur Tengah yang terpaksa mengikat perut kerana sukar mendapat peruntukan wang zakat. Banyak betul kalau kita mahu bahaskan hal-hal hipokrit manusia yang bergelar pemimpin ini.
Rakyat tahu, pemimpin Umno rasa cemburu dan iri hati dengan kemenangan Pakatan Rakyat. Hal ini terpaksalah diakui oleh Khir sendiri. Siapa suruh beliau menghadiahkan penyapu kepada salah seorang kakitangan bawahannya?

Wanita-wanita yang teraniayaSejarah menunjukkan, sesiapa yang menganiayai wanita-wanita di dalam sesebuah negeri, maka kerajaan mereka bakal diterbalikkan oleh Tuhan.
Kita sama-sama anak Kedah. Langkawi bukan asing kepada kita. Pulau itu pernah ditimpa musibah akibat menghukum Mahsuri tanpa proses keadilan yang benar-benar telus. Sebelum meninggal dunia, Mahsuri bersumpah: “Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan!”

Doa orang yang teraniaya, khasnya wanita itu jangan kita buat main. Tidak lama sesudah itu, Langkawi diserang dan dilanggar dengan kejamnya.
Anak perempuan Sang Rajuna Tapa dibunuh sultan tanpa diteliti dosa-dosanya, isteri Laksamana Bentan Megat Seri Rama dibunuh cuma kerana mengidam buah nangka raja. Semua ini contoh-contoh klasik.

Bagaimana pula dengan contoh-contoh moderen dan pasca-moderen berhubung kaum wanita yang terbunuh tanpa keadilan ini?
Wanita berdoa menggunakan hati dan perasaan. Kaum Adam menggunakan pemikiran. Sebab itulah doa kaum wanita lebih mudah dimakbulkan Tuhan. Marilah kita lihat dan bermuhasabah, sudah berapa ramaikah wanita-wanita yang terbunuh di dalam negara kita mutakhir ini.
Kita mungkin terlupa nama Mustakizah. Contoh popular ialah Altantuya of Mongolia. Tunggulah azab Tuhan. Najib masih belum menerima pembalasan.

Tapi, mereka ini semuanya dilantik dan terangkat ketika tuan menjadi Perdana Menteri. Tun juga mesti bertanggungjawab termasuk rakyat yang mengangkat Najib melalui undi-undi mereka.

Keadilan sukar ditegakkan bagi kes-kes ini. Mereka sedang ghairah di puncak kekuasaan. Jadi, sebelum kita menyeru anak-anak didik kita bermuhasabah, marilah kita bermuhasabah mengenai hal-hal yang sedikit ringan. Apa kata Tun, untuk kali yang pertamanya, kita berbicara mengenai isu PPSMI ini?

Menjadi amalan khalifah terdahulu, mereka kerap bermuhasabah. Tapi, dalam realiti sekarang.. akhbar-akhbar boleh juga menjadi saluran, sumber peringatan kepada sang pemimpin untuk kembali membetulkan kesilapan mereka.

Hari kematian Tun makin hampirTiada siapa yang dapat menduga ajal seseorang. Mungkin Tun akan meninggal dunia esok, lusa, minggu ini, minggu depan, bulan ini atau bulan depan. Kita tidak tahu bilakah maut datang menjemput.

Dan, saya juga risau, jika usia muda saya direnggut sekarang, maka tidak sempatlah saya sampaikan peringatan kepada tuan berhubung maksud kehadiran surat ini.
Maka, sebelum terlambat.. Saya rasa perlulah saya menyampaikan peringatan kepada Tun berhubung isu-isu yang pernah Tun lakukan sepanjang pemerintahan sebelum ini.
Kalau mahu disentuh semua, tentulah panjang berjela. Maka, saya memilih satu perkara sahaja yang rasanya perlulah Tun lakukan sebelum Tun meninggal dunia.

Hal itu berkaitan dengan PPSMI. Umum diketahui bahawa Tun adalah pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini. Jadi, saya dan rakan-rakan amat berharap supaya Tun dapat segera betulkan hal ini melalui kenyataan-kenyataan Tun. Jangan sampai murid-murid dan guru-guru sekolah kita menderita dengan sebab PPSMI ini.

Roh Tun di alam barzakh kelak akan terseksa dengan sebab PPSMI ini. Dasar ini telah banyak memenatkan mereka. Pada era penjajahan, sememangnya keseluruhan murid-murid pada zaman itu terpaksa belajar dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Sebenarnya, mereka pun bermasalah dengan matapelajaran mereka itu. Tapi, apabila ditinjau semula, kita masih boleh menerima keadaan tersebut kerana kita belum merdeka sepenuhnya.
Kini.. selepas merdeka, kebanyakan guru, murid-murid dan setiap anggota masyarakat kita tidak dapat menerima dasar tersebut. Dasar ini telah menyusahkan mereka. Di sini, kalau Tun enggan membantah PPSMI, maka padah akan menimpa roh Tun kelak setelah kematian Tun nanti.

Setiap kali mereka merungut dengan sebab kesusahan ini, maka roh Tun akan terseksa mendengar kutukan dan kecaman mereka ke atas Tun. Sekurang-kurangnya, Tun perlu mengeluarkan kenyataan membantah PPSMI ini. Tiada salahnya..

Kenapa dahulu, Tun boleh keluarkan kenyataan bahawa Auku sudah tidak lagi diperlukan, dan sekarang tidak boleh keluarkan pandangan membantah PPSMI? Sedangkan kedua-duanya; Auku dan PPSMI adalah produk dasar yang diperkenalkan melalui gagasan Tun.
Usia Tun sudah lanjut dan hampir menuju ke alam barzakh. Banyak betul yang perlu Tun perbetulkan segera. Saya dan rakan-rakan cuma meminta agar Tun dapat berikan kenyataan kepada kerajaan supaya PPSMI itu ditarik balik pelaksanaannya.

Itu saja. Kami tidak minta lebih-lebih. Sementara waktu yang masih tersisa ini, manfaatkanlah segala waktu dengan membanyakkan muhasabah.
Umno berjiwa Inggeris?Arakian.. baru-baru ini, saya membeli buku Memoir Shamsiah Fakeh. Termuat di dalamnya beberapa pandangan berhubung perbezaan antara Umno dan PKMM.
Menarik juga sesekali diselak jendela pemikiran watak-watak Melayu berhaluan kiri. Pandangan beliau mengenai Umno adalah seperti berikut:-

Sewaktu aku berada di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, aku sering ikut dalam pertemuan yang dianjurkan oleh Umno iaitu kependekan dari bahasa Inggeris, United Malaya National Organization.
Sebenarnya dalam bahasa Melayunya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau singkatannya Pekembar, tetapi pertubuhan ini lebih suka memakai nama Umno. Seterusnya, nama Umno saja yang digunakan sehingga sekarang.

Tun.. Nampak kelihatan jelas di sini bagaimana Shamsiah Fakeh tidak senang dengan sikap Umno yang mengenepikan nama pertubuhan Pekembar, bahasa Melayunya sendiri. Pemakaian nama Umno itu sendiri menunjukkan bagaimana Umno terjajah dengan mudahnya daripada sudut pemikiran mereka.

Oh ya Tun..sekarang jam 10:15 malam. Kebetulan ketika sedang menaip kepada Tun ini, mesin faks di tepi saya sedang mencetak surat cabaran daripada Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub kepada Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Saya catit sedikit kenyataan yang tertera di dalam surat tersebut..

“Saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan ini mengemukakan cabaran untuk berdebat dengan YB Dato’ Seri sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

“Saya menyerahkan pemilihan tarikh, tempat dan masa yang sesuai kepada pihak YB Dato’ Seri dan mencadangkan supaya ianya disiarkan secara langsung di mana-mana saluran televisyen untuk membolehkan rakyat mengadilinya.
“Saya berharap YB Dato’ Seri dapat memberikan jawapan dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini.”
Tamat isi surat. Tapi, menurut Tun, adakah Hishammuddin itu boleh berdebat? Saya tidak fikir beliau berani. Seorang ahli remaja Putera Umno pernah memberitahu saya tentang sikap Hishammuddin ketika beraksi di atas pentas sebelum berucap dalam Perhimpunan Agung Umno dahulu.

“Dato’ Hishammuddin upah budak-budak untuk tepuk tangan kepadanya ketika dia mahu naik ke pentas untuk berucap,” kata ahli Putera Umno tersebut.
Bermakna, Dato’ Hishammuddin sendiri sedar bahawa beliau tiada sokongan akar-umbi ke atas dirinya sendiri, sehinggakan beliau terpaksa ‘mengupah’ orang-orang tertentu untuk bertepuk tangan apabila dia sedang berucap.

Sebab itu, saya yakin bahawa cabaran Salahuddin Ayub yang baru saya taip kepada Tun ini tidak akan disambut oleh Hishammuddin. Saya lebih yakin kepada Tun untuk mempertahan PPSMI itu sendiri. Tun mungkin tidak lari.
Sebaliknya, Hishammuddin akan mencari helah nanti. Kalau tak percaya, tengoklah selepas ini. Bukannya mudah Kumpulan Prihatin mahu menyusun pertemuan dengan Hishammuddin.

“Pembantu Hishammuddin akan selalu cakap bahawa jadual menteri tu dah penuh,” kata seorang penggiat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). “Jadi, kami tak dapat ruang untuk turut berbincang dengan Hishammuddin berhubung isu PPSMI ini.”
Kemudian, apabila GMP mengajak orang-ramai pakat-pakat turun ke jalan raya, Hishammuddin, Naina Merican GPMS dan juak-juaknya mula menyusun ayat-ayat klise,

“Kenapa harus turun ke jalanan. Marilah berbincang secara elok-elok.”
Apa Tun rasa kalau Tun berada di tempat saya? Memang mulut dan hati saya jadi jahat dan panas baran tatkala mendengar perkataan seumpama ini. Nak maki, mencarut pun ada.
Tapi, itulah ujian dan dugaan dalam perjuangan ini. Saya memang panas baran. Mamalialah katakan. Lagi pun saya orang muda yang memang disifatkan sebagai ‘angry young man; (tetapi sedikit berjiwa romantis).

Saya yakin Hishammuddin akan mengelak pertembungan dengan Salahuddin Ayub. Sehingga surat ini ditulis, saya tidak tahu adakah Tun mahu bermuhasabah terhadap keburukan PPSMI atau masih lagi mahu memperjuang dasar tersebut.
Jika Tun mahu menebus kesilapan, maka saya syor Tun menggantikan tempat Salahuddin dan betulkan semula Hishammuddin (itu pun kalau Hishammuddin berani sahut cabaran Salahuddin).

Tapi, jika Tun tetap tegar pendirian dalam mempertahan PPSMI, maka saya ada syor lain pula.
Antara ramai-ramai Menteri Pelajaran Umno, selain Tun dan Hishammuddin, Tun Abdul Rahman Yaakob adalah sosok yang begitu istiqamah menentang PPSMI.
Jadi, jika debat antara Hishammuddin dan Salahuddin itu terbatal, tertangguh atau ditunda, maka ruang kekosongan itu mungkin boleh diisikan dengan debat antara Tun dengan Tun Abdul Rahman Yaakob. Ini berlaku jika Tun masih lagi tegar mempertahan PPSMI.
Soalan cepu saya kepada Tun, beranikah Tun berdebat dengan Tun Abdul Rahman Yaakob berhubung isu PPSMI itu?

Sekian Tun.. Tun buatlah keputusan dengan bijaksana dan penuh waspada. Jika Tun insaf dengan kesilapan Tun dalam memperkenal PPSMI, maka saya minta Tun dapat menasihati Abdullah Ahmad Badawi, Hishammuddin dan kelompok mereka agar segera memansuhkan PPSMI itu.

Tapi, jika Tun masih tegar dengan pendirian Tun, bahawa PPSMI ini suatu tindakan yang sah, betul dan wajar, maka saya mencabar Tun berdebat dengan mantan Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Yaakob sebelum menjelangnya kematian Tun, sebelum ajal datang menyambar maut.

Kalau Tun bijaksana dalam bermuhasabah, bermula hari Tun membaca surat ini, maka hendaklah Tun melakukan solat sunat istikharah, memohon petunjuk kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk yang tepat tentang bagaimana yang seharusnya Tun lakukan selepas ini.
Saya berwasiat begini, kerana usia dan hayat tempoh Tun akan berakhir tidak lama lagi. Mungkin juga hayat dan tempoh hayat saya juga tak panjang. Soalnya, yang paling penting.. adakah kita bersedia bertemu Tuhan di Padang Mahsyar kelak untuk bersoal jawab dengan Tuhan berhubung isu PPSMI ini?

Malam ini juga, di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, telah berhimpun segala pimpinan Pakatan Rakyat dalam meratibkan jiwa sengsara rakyat dalam isu PPSMI ini. Dan mereka telah berusaha keras untuk memansuhkan PPSMI.

Harap Tun membuat keputusan dengan bijaksana sebelum ajal Tun menjelang tiba tidak berapa lama lagi.
Syahadan.. Tun, berjuanglah bersama kami.. Mansuhkan PPSMI!
http://bmppsmi.blogspot.com

GERAK EZAM

RAKYAT negeri Selangor mungkin merasa bangga dengan peranan dimainkan oleh Gerakan Anti Korupsi (Gerak) sebuah NGO yang diasaskan oleh Ezam Mohamad Noor kemudian diwariskan kepada Mohd Nazree Mohd Yunus anak buahnya yang telah membuat laporan terhadap MB Selangor, Khalid Ibrahim yang didakwa melakukan salah gunakan kuasa, guna kereta peribadi untuk urusan rasmi dan juga membahagikan lembu korban untuk rakyat.

Gara-gara laporan yang dibuat oleh Gerak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, menyebabkan kedudukan Khalid sehari dua ini kurang selesa dan sikit terganggu.Imej Khalid sebagai MB juga turut tercemar apabila SPRM bertindak lebih kuah dari sudu apabila ketuanya, Ahmad Said Hamdan telah 'menghukum' Khalid sebagai bersalah dengan ulasan media mengenai siasatan ke atas Khalid.Cara Ahmad Said menimbulkan isu mengenai Khalid Ibrahim seolah-olah beliau sedang mempromosikan dirinya untuk dicalonkan oleh UBN di Bukit Gantang saja. Apakah beliau berminat untuk menjadi ahli Parlimen?Apakah ada pakatan antara Ezam, Gerak dan PSRM bagi mengugat kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor?Khalid nampaknya bersedia menghadapi tindakan PSRM dengan menegaskan dia bukan boleh digertak.

Bagi Khalid cara isu itu dibangkit seolah-olah mahu menggugahkan emosinya saja. Bagaimana pun sama-samalah kita tunggu perkembangan itu dan bagaimana kesudahannya nanti. Cuma sekiranya pihak Peguam Negara tidak membawa kes Khalid ke mahkamah, Ahmad Said Hamdan hendaklah mengambil tangungjawab atas apa yang beliau lafazkan sebelum ini.
Tidak molek kalau seorang ketua kepada suruhanjaya bebas tidak mempunyai intergriti, bersikap ‘jongkang jongkit’ dan tidak mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang beliau lakukan. Sikap begitu ia akan menyamakan Ahmad Said dengan perangai seorang ahli Parlimen bebas di Parlimen yang mengaku profesional, bijak, cerdik dan ikhlas namun moralnya hampas!
Menyentuh mengenai laporan Gerak terhadap Khalid Ibrahim yang membahagikan lembu korban pada hari raya Aidi-adha lalu ia timbul kehairanan saya kepada pihak yang melaporkan perkara itu.

Apakah Gerak semata-mata melihat kepada apa yang dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa itu tanpa melihat kebajikan di sebalik apa yang dilakukan Khalid?Bukankah lembu-lembu korban itu diberikan kepada umat Islam dan sebagai usaha Khalid meraikan umat Islam pada hari raya? Apakah Gerak melihat kesalahan sebegini lebih besar daripada kesalahan dan rasuah lain yang melibatkan jutaan ringgit seperti penyelewengan dalam pembelian kapal selam dan sebagai?Aktiviti dilakukan Khalid yang berunsur rasuah begitu banyak dilakukan oleh pemimpin lain. Ia bukan saja berlaku sehari dua ini tetapi sejak 51 tahun dulu.

Secara peribadi saya ingin mencabar Gerak agar turut menyelongkarkan pemberian lembu-lembu korban oleh bekas MB Selangor, Mohamad Khir Toyo pada tahun 2007 dulu dan juga sebelum ini. Diharap Gerak menyiasat syarikat manakah yang membekalkan lembu-lembu yang diangihkan oleh Khir Toyo pada setiap tahun?Pada tahun 2007 sebanyak 400 ekor lembu dibahagikan oleh bekas MB itu kepada ketua-ketua cawangan atau wakilnya di satu majlis di Shah Alam, Selangor.

Jelas yang dilakukan Khir Toyo itu sama saja nilai dan darjatnya dengan apa dilakukan Khalid Ibrahim. Gerak kena siasat syarikat mana yang membekalkan lembu-lembu berkenaan dan apakah pula ganjaran yang diberikan kepada syarikat berkenaan? Kadang tempat lembu-lembu itu disimpan masih ada hari ini terletak di Batang Berjuntai. Gerak jangan hanya rajin mencari kesalahan Khalid tetapi buta kepada apa yang pernah dilakulkan Khir Toyo.Gerak jangan hanya bertindak melaporkan salah guna Khalid Ibrahim atau pemimpin Pakatan Rakyat tetapi terlepas pandang terhadap pemimpin UBN dan juga bekas MB Selangor.Kalau Gerak mesti ingat sewaktu Khir Toyo menjadi MB Selangor satu laporan rasuah berhubung pemberian tanah kepada seorang perempuan yang telah dibuat oleh Ahmad Lutfi Othman (kini pengarang Harakah).

Gerak boleh menyemak kes ini dan cuba bawa semula kepada PSRM. Apakah fail berkenaan telah ditutup?Setahu saya kes ini tidak disiasat dan sikap PSRM ketika itu BPR tidak selancang Ahmad Said dalam mengulas isu yang membabitkan Khalid Ibrahim.Sebagai NGO bebas Gerak kena buktikan yang ianya liberal dan bebas. Kalau Gerak hanya bertindak dengan memilih bulu sama seperti SPRM dalam membuat siasat dan pendakwaan memilih bulu, maka Gerak juga lebih kurang SPRM sahaja. Apa yang menyedihkan lagi kalau Gerak sampai akan dituduh sebagai alat kepada mana-mana pihak dan individu yang berdendam kepada individu lain.Kita tidak mahu nanti Gerak akan dituduh sebagai komponen baru BN seperti mana dilemparkan kepada PSRM yang kini sedang 'memohon' untuk menjadi komponen rasmi UBN. [wm.kl. 10:30 am 23/02/09]MSO.

DASAR PPSMI

Salam 2 all.

Saya sekarang berada di Dewan Cina KL sempena Himpunan & Ikrar Mansuhkan Dasar Pengajaran & Pendidikan Matapelajaran Sains & Matematik (PPSMI) dalam bahasa Inggeris.Ramai jugak yang hadir iaitu Presiden PAS YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Dato Seri Anwar, Cikgu Azmi Hamid (Teras), Dinsman, Dato Dr Hassan Ahmad (x DG DBP), Dr Syed Hussein Ali, Dato Ust Abu Chik, dll. A. Samad Said x dapat datang kerana program di Kelantan.Tujuan himpunan malam ini adalah sebagai rally untuk Himpunan besar PPSMI yang akan diadakan pada 7 Mac 2009 dihadapan Istana Negara.Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini bertujuan untuk memansuhkan pengajaran matapelajaran Sains &Matematik yang didapati sangat memudaratkan pelajar2 Melayu terutamanya diluar bandar.Malahan dasar ini didapati hanya memperkayakan kroni-kroni UMNO khususnya untuk membekalkan peralatan & buku dalam bahasa Inggeris.Untuk mengelabukan rakyat khususnuya orang Melayu, tahap markah minima telah diturunkan begitu banyak untuk membolehkan statistik menunjukkan kononnya ramai anak Melayu yang lulus matapelajaran S&M.Saya secara peribadi dengan sikap bodoh & sombong UMNO/ Be End ini yang masih berterusan berkeras mahu melaksanakan dasar pelingkup bangsa ini.Saya teringat pada tahun 1960an apabila UMNO melaksanakan dasar menghapuskan tulisan jawi dan merumikan bahawa Melayu, kononnya atas alasan bangsa Melayu akan mundur jika terus menggunakan tulisan Jawi. Untuk memajukan bangsa Melayu maka UMNO menganggap Melayu perlu meninggalkan tulisan jawi dan merumikan diri mereka.Kesannya hari ini bangsa Melayu tak juga maju-maju, malahan sudah mula buta Al Quran.Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, saya kira bangsa Melayu perlu bangkit menentang penerusan dasar bodoh & sombong ini.Kita melihat bangsa gah dan hebat masakini saperti Jepun, Perancis, German, Korea dll tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pendidikan mereka.Saya menyeru semua rakyat terutamanya bangsa Melayu supaya bersama kita dengan pimpinan PAS, GMP dll berhimpunan ramai-ramai di hadapan Istana Negara pada hari Sabtu 7 Mac 2009 @ 2.00pm.www.zul4kulim.blogspot.com(MP KULIM BANDAR BHARU)

PERHIMPUNAN SEMANGAT 46 LEMBU

PERHIMPUNAN 'SEMANGAT 46 LEMBU' - (MENYOKONG MB SELANGOR DAN DESAK SPRM SIASAT NAJIB DAN KHIR TOYO)

Perkara di atas adalah dirujuk.Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) dengan kerjasama AMK Selangor akan melancarkan satu program yang dinamakan "Perhimpunan Semangat 46 Lembu".

Perhimpunan ini akan diadakan dengan bertujuan untuk menunjukkan mesej bahawa SPRM telah menjadi 'lembu yang dicucuk hidungnya' kepada UMNO-BN.Butiran lanjut program tersebut adalah seperti berikut:-

Tarikh : 25 Februari 2009 (Rabu)

Masa : 2.00 petangTempat: Pejabat SPRM, Plaza Massalam, Seksyen 9, Shah AlamSemua penyokong dan wartawan KECUALI Utusan Malaysia adalah dijemput hadir.
Sekian, harap maklum.Hasmuzair HassanSekretariatAngkatan Muda Keadilan Malaysia014-8422155

Friday, February 20, 2009

SPRM UMPAMA PELACUR-BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI (SK) - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan Badrul Hisham Shahrin menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama seperti pelacur yang menjadi pemuas nafsu pemimpin Umno.
Menurut beliau ketika dihubungi Suara Keadilan, SPRM harus malu dalam agendanya untuk mencegah rasuah didalam Malaysia sedangkan rasuah didalam parti pemerintah semakin berleluasa.
“SPRM harus malu dengan Barisan Nasional, mereka menjadikan SPRM seperti pelacur untuk memuaskan nafsu sesetengah ahli politik Malaysia,” katanya tegas hari ini
Katanya, SPRM hanya membazirkan wang rakyat kerana sejak penubuhan badan berkenaan tidak menjalankan tugas yang dengan dedikasi dan seperti yang diharapkan.
Pada 2 Januari lalu, Badrul telah menyerahkan kira-kira 60 mukasurat yang mengandungi pelbagai laporan rasuah lama dan baru kepada SPRM.
Walaubagaimanapun menurutnya sehingga kini tidak ada sebarang jalan penyelesaian yang dilihat untuk menangani rasuah yang telah dilaporkan.
“Kita telah menghantar bukti rasuah kepada SPRM pada awal penubuhanya untuk menguji sebagaimana kredibiliti SPRM dalam menangani masalah, namun apa yang saya lihat SPRM gagal melaksanakanya,”katanya.
Oleh yang demikian, Badrul bersama-sama kumpulan anak mudanya akan membakar bukti-bukti rasuah yang berada ditangan beliau sebagai tanda kemarahan terhadap SPRM.
“Apa yang saya buat ini bukan seorang, bukan kerana parti, tapi ini adalah tanda kemarahan rakyat yang melihat SPRM gagal menangani gejala rasuah,” katanya lagi.
Menurut blog beliau, pada 26 Februari ini beliau akan ke Pejabat SPRM di Putrajaya utnuk membakar salinan dokumen dan bukti rasuah yang pernah dihantar beliau semenjak 1998.

Tuesday, February 17, 2009

KENYATAAN MEDIA AMK KEDAH

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN KEDAH16hb Februari, 2009PERBUATAN KHIR TOYO BUKTI UMNO BANGKRAP IDEAAngkatan Muda Keadilan negeri Kedah mengecam tindakan memualkan dan tidak bermoral segelintir individu yang menceroboh kehidupan peribadi ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, YB Cik Elizabeth Wong dengan menyiarkan gambar-gambar peribadi beliau yang diambil tanpa kerelaan dan tanpa kesedaran beliau. Yang lebih memualkan ialah, perbuatan terkutuk ini didalangi individu dengan niat bermotifkan politik dan seolah-olah mendapat sokongan dari Dr Khir Toyo, bekas menteri besar Selangor dan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang semakin terdesak karier politiknya!Kenyataan Khir Toyo yang mendahului berita tentang gambar-gambar tersebut jelas menunjukkan bahawa seolah-olah insiden ini merupakan satu jenayah politik yang terancang untuk menjatuhkan maruah dan imej serta seorang wakil rakyat yang sangat disenangi oleh pengundi-pengundi di Bukit Lanjan. Khir Toyo jelas kelihatan seperti seorang yang bengong bila beliau membandingkan isu ini dengan skandal tidak bermaruah bekas menteri kanan Barisan Nasional, Dr Chua Sooi Lek yang meletakkan jawatan akibat rakaman video hubungan seks beliau di sebuah hotel. Beliau juga seolah-olah menyokong sebarang perbuatan menceroboh kehidupan peribadi sesiapa sahaja asalkan matlamat politik menjatuhkan maruah seseorang tercapai.Sebagai seorang Islam, saya merasa malu dengan perbuatan Khir Toyo sebagai seorang wakil rakyat beragama Islam yang cuba naik dengan menjatuhkan maruah orang lain. Islam jelas melarang keras perbuatan menjatuhkan maruah atau mendedahkan keaiban orang lain. Mustahil anak guru agama yang satu ini tidak tahu hukum dan larangan agama, sekalipun ianya berkaitan dengan maruah seorang bukan Islam!Kita mengharapkan agar YB Elizabeth Wong akan tetap bersemangat dan teguh menghadapi dugaan terbaru dalangan UMNO dan Barisan Nasional ini. Kita menyeru rakyat, terutamanya pengundi di 2 pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dapat bangkit memberikan mesej yang jelas kepada UMNO dan Barisan Nasional bahawa rakyat sudah muak dan jelak dengan politik tidak bermoral UMNO dan Barisan Nasional ini!SAIFUL IZHAM RAMLIKetua Angkatan Muda KeadilanNegeri Kedah Darul Aman

SUDAH JADI TIGA BUKIT

Politik MALAYSIA menjadi lebih menarik.Apabila sebentar tadi ADUN BUKIT LANJAN telah meletak jawatan sepenuhnya.Ini berikutan pendedahan gambar separuh bogel.Gambar tersebut di ambil tanpa izin beliau ketika tidur.Kini MALAYSIA akan ada tiga PRK.Besar kemungkinan ia di jalankan serentak.Setelah BUKIT SELAMBAU dan BUKIT GANTANG,kini BUKIT LANJAN pula kekosongan kerusi.Ini ujian yang harus di tempuh oleh PR.AMK akan tetap berusaha mempertahankan ketiga-tiga bukit tersebut.Khususnya AMK KULIM BB akan bertumpu di N25 BUKIT SELAMBAU.Lawan tetap lawan

Monday, February 9, 2009

CERAMAH PERDANA (KEMBALIKAN HAK RAKYAT)

CERAMAH PERDANA, KEMBALIKAN HAK RAKYAT!

TEMPAT:TAMAN NILAM,SUNGAI PETANI KEDAH

TARIKH :14 HB FEBUARI 2009

HARI :SABTU

MASA :9 MALAM

PENCERAMAH: BADRUL HISHAM SHAHRIN(CG BARD)

:YB AMIRUDIN SAARI (ADUN BATU CAVES)

:YB UST FIRDAUS JAAFAR(MP JERAI)

ANJURAN AMK NEGERI KEDAH DARUL AMAN

MP BUKIT GANTANG MENINGGAL DUNIA

AHLI PARLIMEN BUKIT GANTANG UST ROSLAN SHAHROM MENINGGAL DUNIA PAGI TADI KERANA SAKIT JANTUNG.PADA PILIHANRAYA KE12 ALLAHYARHAM TELAH MENGALAHKAN CALON DARI BARISAN NASIONAL DATO ABD HAZIM ZABIDI DAN CALON BEBAS DENGAN MAJORITI 1566 LEBIH.AL FATIHAH......

Wednesday, February 4, 2009

SELAMATKAN KERAJAAN PAKATAN RAKYAT PERAK

Sebaran Media5 Februari 2009
Perhimpunan Selamatkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak Hari ini (5 Feb)
Perhimpunan 100 ribu rakyat akan diadakan hari ini (5 Feb) pada jam 7 malam di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua Menteri Besar Negeri Pakatan Rakyat, bagi menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak dan menuntut agar hak rakyat dikembalikan.
Berikut adalah mesej khas dari Datuk Seri Anwar Ibrahim buat semua penyokong Pakatan Rakyat:
“Pertahankan Kuasa Rakyat - Saya bersama Menteri Besar dan Pakatan Rakyat esok Khamis 7:30 malam di Ipoh. Saya yakin, Insyallah rakyat yang menentukan.”
Semua penyokong Pakatan Rakyat dan aktivis diminta hadir untuk memberi sokongan

Tuesday, February 3, 2009

JANGAN CEPAT MELATAH

Sepanjang hari ini, selepas selesai tugasan yang diberi parti membantu ADUN PKR Bukit Selambau, bila saja ada waktu terluang, saya cuba mengikuti setiap perbincangan dan komen-komen di laman-laman web dan blog tentang isu terpanas minggu ini, ie keriuhan tentang dakwaan kononnya sdr Jamaluddin dan Capt Osman akan melompat parti ke dalam UMNO.
Saya agak sedih dengan sikap sesetengah teman pimpinan dan para pengunjung laman-laman web serta blog ini begitu mudah dan cepat menghakimi kedua mereka, tanpa tahu apa fakta sebenar atau apa cerita sebaliknya. Pertimbangan emosi jelas menguasai pertimbangan akal yang rasional. Malah ada yang tergamak melemparkan kata-kata kesat menghina keduanya, sedangkan mereka langsung tidak mengenali sdr Jamal atau Capt Osman!!!!
Saya mengenali kedua mereka sejak awal gerakan Reformasi bermula. Jatidiri perjuangan kedua mereka adalah antara yang paling kukuh dari kalangan teman-teman lain!! Bahkan sdr Jamal (yang sering dihina oleh teman-teman di laman-laman blog sebagai bekas posmen cabuk!!) adalah antara individu pejuang yang paling komited dan antara yang paling banyak menghabiskan wang ringgit dan harta demi perjuangan. Beliau adalah antara anak didik Alahyarham Cikgu Khalil Shah yang paling rapat dan disenangi arwah. Buat pengetahuan teman-teman yang baru setahun jagung dalam perjuangan reformasi, arwah cikgu Khalil adalah Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Perak yang pertama, dan bersama-sama sdr Jamal, merupakan antara pejuang-pejuang awal yang menubuh dan menggerakkan PKR Perak! Arwah juga adalah abang kandung yang sulong kepada menteri besar Perak sekarang, sdr Dato' Seri Nizar!
Pasti ada yang tidak kena! Pasti ada benda lain yang membayangi sebab sebenar episod terbaru ini. Bagi saya, ini adalah satu tragedi perjuangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Sdr Jamal yang saya kenal sejak lebih 10 tahun bersama dalam satu wadah, bukan begini orangnya! Wang bukan masalah bagi beliau! Bahkan kepada yang menohmah beliau menerima jutaan ringgit, saya nasihatkan mereka segera beristighfar dan memohon maaf kepada beliau! Kalau ada ahli atau pimpinan PKR Perak yang punya masalah kewangan, dialah antara yang paling awal membantu! For a 'brainless posmen cabuk' as claimed by some, he's a damn good businessman!! Saya faham bagaimana pedihnya ditohmah menjual perjuangan!!!
Sepanjang tempoh 10 bulan lalu, sejak kita mengambilalih amanah memerintah Perak, saya berpeluang saban kali bertemu dan berbincang dengan kedua mereka di Ipoh, terutama bila membicarakan tentang pentadbiran kerajaan negeri dan sikap negatif kakitangan awam Melayu (Perak Civil Service) di negeri Perak. Sering juga saya mendengar keluhan dan rintihan hati mereka yang risaukan tentang halatuju pentadbiran kerajaan negeri yang sering diancam oleh UMNO dan BN Perak. Butirannya biarlah saya simpan dulu untuk dibicarakan kemudian.
Apapun, bagi yang gemar menghentam tanpa usul periksa, tanpa tahu apa cerita sebenar, tanpa kenal siapa sdr Jamal dan Capt Osman, saya mohon muhasabahlah diri sendiri. Ini saya tujukan pada semua, tak kira penyokong atau pemimpin parti!! Saya yakin mereka tidak akan meninggalkan parti dan perjuangan! UMNO bukan pilihan mereka! Prinsip perjuangan bukan sebegitu murah untuk digadaikan! JANGAN CEPAT MELATAH!! Jangan biarkan UMNO terus mengelirukan kita dengan perang saraf licik sehingga kita akhirnya akan kehilangan dua teman yang setia dan sejati dalam perjuangan. Doa saya moga Allah buka pintu kebenaran seluas-luasnya demi kesetiaan dan pengorbanan yang sudah lama mereka curahkan!SaifulAhli Majlis Pimpinan TertinggiParti Keadilan Rakyat